Saturday, November 17, 2007

ALMA: Hasrat dan Harapan

Sejarah "Columbus" Melayu berkelana ke Benua Amerika mencari ilmu dikatakan bermula seawal tahun-tahun 50an. Ada yang mengesahkan seorang anak Melayu telah menuntut di Colorado School of Mines seawal tahun 1955. Manakala, kisah yang masyhur ia-lah pengembaraan Dato Senu Abdul Rahman sebagai kelasi kapal yang berlabuh dan menyambung pelajaran di Los Angeles sebelum Malaya Merdeka.

Namun, sejak kumpulan pelajar pertama yang dihantar kerajaan pada tahun 1968, ribuan anak Melayu telah berduyun-duyun ke barat Lautan Atlantik melanjutkan pelajaran dengan biasiswa kerajaan, khususnya pada pertengahan tahun 70an ke akhir 80an.

Dunia Baru ini berlainan sekali dari tradisi British di Tanah Air. Nilai budaya mereka yang berteras kebebasan individu dan demokrasi terjemah di dalam falsafah pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel dan "accessible". Rakyat Bumi Si Bebas dan Tanahair Si Gagah (Land of Free and Home of the Brave) mempunyai keyakinan diri, sifat berdikari dan semangat jatidiri yang kental lagi dikagumi.



Namun, anak-anak muda Melayu tidak terikut-ikut mengejar Impian Amerika (American Dream) tetapi menterjemahkanya menjadi Impian Malaysia. Pengalaman merantau telah membina jiwa dan semangat untuk memajukan negara dan memartabatkan bangsa. Kini mereka telah pulang ke tanahair dengan ijazah dan ramai yang telah menempa pencapaian masing-masing.

"Kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit".

Berpegang kepada pepatah Melayu tersebut, ALMA berhasrat menyatupadukan kepakaran dan pengetahuan setiap ahli ke arah membina satu Jalinan Iktisad Melayu yang padu dan berkesan.

ALMA bervisi untuk menjalankan peranan yang perlu dan berkesan dalam kesinambungan usaha memartabatkan bangsa. Antaranya, ALMA akan menjadi salah satu platform bagi cendikiawan dan professional Melayu mengkaji, membina maklumat dan bertukar fikiran untuk menyumbang timbal balas dan menjana ide yang boleh dilaksanakan untuk kepentingan Melayu.

ALMA berhasrat untuk melanjutkan jaringan ahli-ahlinya ke arah membina kerjasama iktisad sesama ahli dan bangsa Melayu, amnya. Seharusnya, ALMA berperanan meningkatkan kecemerlangan akademik anak-anak Melayu program-program lanjutan pengajian ke Universiti-Universiti di Amerika Utara.

Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya.


Sedutan dari Buku Cenderamata
Malam ALMA 2005,
20 Februari, 2005

No comments: